WARGA MALAYSIA DI UAE SAMBUT BAIK PELAJAR DARI ISKANDARIAH

Tujuh pelajar Malaysia tiba di sini pada Khamis malam dari Iskandariah, sebuah daripada bandar raya di Mesir yang diselubungi tunjuk perasaan jalanan menentang pemerintahan Presiden Hosni Mubarak selama 30 tahun.

Mereka nyata terperanjat namun gembira melihat sekumpulan warga Malaysia yang tinggal di Emiriah Arab Bersatu (UAE), diketuai oleh Presiden Persatuan Warga Malaysia di UAE (My-UAE) Rusli Leman, menunggu untuk menyambut ketibaan mereka di Terminal 2 Lapangan Terbang Dubai.

Izza Nadzmi Othman, pelajar tahun pertama jurusan perubatan di Universiti Iskandariah, berkata mereka telah pun bersedia untuk bermalam di lapangan terbang sementara menunggu penerbangan Malaysia Airlines ke Kuala Lumpur pada Jumaat.

"Kami benar-benar terperanjat. Kami tidak menjangkakan untuk melihat warga Malaysia menunggu kami di lapangan terbang. Kami sekadar ingin mengucapkan terima kasih," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumah salah seorang daripada keluarga Malaysia di sini yang menawarkan penginapan kepada pelajar berkenaan.

Dalam penerbangan dari Iskandariah itu, Izza Nadzmi disertai oleh Syazwani Zulkafli, dari Pasir Gudang; Amirah Zainab Mamat, dari Skudai; Normaidayu Mohd Zainal, dari Sungkai; Ikrimah Idris, dari Ipoh; Mohamad Zakwan Helmi Abu Bakar, dari Pendang; dan Khalil Husairi Hamzah, dari USJ Subang.

Pelajar perempuan itu tidak dapat melupakan pengalaman meletakkan halangan di rumah sewa mereka dan tidur bertemankan pisau untuk melindungi diri ketika keadaan huru hara menyelubungi Iskandariah di tengah-tengah khabar angin bahawa banduan yang terlepas dari penjara sedang berkeliaran di jalanan.

Khalil Husairi pula mengimbas semula tahap keselamatan yang lemah, mengakibatkan penduduk Arab mengambil inisiatif sendiri untuk melindungi rumah dan kediaman menggunakan pedang, senapang dan senjata lain.

Rakan-rakannya turut memberitahu tentang masalah komunikasi setelah talian internet dan telefon terputus.

Sungguhpun mereka berasa lega kerana telah tiba ke Dubai, namun ingatan mereka terpahat kepada rakan taulan dan warga Malaysia lain yang masih terperangkap di Mesir.

"Kami berdoa mudah-mudahan mereka akan dapat keluar dari Mesir tidak lama lagi," kata Amirah Zainab. Sementara itu, Zaida Khamis dan Misbah Mukhtar, berkata mereka berdua gembira untuk menerima kedatangan pelajar perempuan itu ke rumah mereka.

"Pelajar ini bagaikan saudara kami sendiri. Rumah kami terbuka kepada warga Malaysia lain dari Mesir yang mungkin terkandas di Dubai," kata Zaida.

Sentimen beliau dipersetujui oleh Misbah dan eksekutif kewangan dan sumber manusia, Zahrul Ikram Zallin, yang menawarkan kediaman mereka untuk penginapan pelajar lelaki.-BERNAMA

0 comments:

 
Copyright © LITTLE ROCKSTAR