PELAJAR CERITA DETIK-DETIK CEMAS DI CAIRO

Rakaman menerusi telefon bimbit rusuhan oleh penunjuk perasaan di Kaherah menjadi igauan ngeri seorang pelajar sepanjang berkurung di rumah sebelum diselamatkan oleh seorang rakan.
Pelajar tahun satu jurusan Perubatan di Universiti Al-Azhar, Zuain Najwa Zuhan, 19, berkata, rakaman tersebut terpaksa ditonton berulang kali sebagai peringatan kepadanya supaya mengambil langkah berjaga-jaga pada setiap masa.

“Rakaman itu dilakukan pada hari pertama rusuhan namun terpaksa dihentikan apabila mata berasa sakit mungkin disebabkan terkena gas pemedih mata.

“Saya tidak percaya melihat keadaan itu meskipun dari jarak apartmen di tingkat tujuh kerana sebelum ini keadaan itu hanya dilihat menerusi media dan Internet sahaja,” katanya ketika ditemui mStar Online di sini, Isnin.

Rakaman berdurasi selama 3 minit dan 36 saat itu memaparkan keadaan ratusan penunjuk perasaan anti kerajaan dalam pertembungan dengan pro kerajaan di Mesir.
Rusuhan yang berlaku pada hari pertama di sepanjang Jalan Rob’ah di Kaherah itu membabitkan mereka yang bersenjatakan kayu, besi dan pisau.
Zuain yang berasal dari Machang, Kelantan berkata, namun selepas petang itu dia bersama seorang teman serumah mula mendengar bunyi tembakan bertalu-talu.

“Kami berdua takut dan hanya mampu berdiam diri di dalam rumah dan terpaksa bergelap pada waktu malam kerana tidak mahu diancam oleh mereka.

“Tiga rakan serumah yang lain sudah ‘selamat’ kerana melancong ke luar negara. Kami berdua hanya berada di rumah sepanjang masa menunggu masa sesuai untuk keluar.
“Mujur kami sudah membeli makanan lebih awal sebelum rusuhan berlaku, dapat menampung untuk beberapa hari,” katanya.

Menurut Zuain, selepas berkurung selama tiga hari mereka akhirnya dibantu dibawa keluar oleh seorang rakan lain ke rumah negeri di mana tempat semua pelajar berkumpul sebelum dibawa keluar ke Jeddah, Arab Saudi.

Katanya, keadaan pada ketika itu masih belum cukup reda kerana teksi yang dinaiki mereka untuk ke rumah negeri ditahan oleh penduduk tempatan.
“Kami kurang faham apa yang dikatakan mereka namun tidak lama selepas pemeriksaan dilakukan, pemandu teksi dibenarkan meneruskan perjalanan.

“Kawasan di sekitar apartmen begitu sunyi sepi selepas tiga hari tetapi masih menakutkan kerana bila-bila masa sebarang perkara boleh berlaku,” ujarnya.
Zuain merupakan salah seorang daripada 778 pelajar dan rakyat Malaysia dalam kumpulan pertama yang tiba dari Jeddah di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pagi Isnin.

Sementara itu, pelajar Sarjana Pengajian Islam di Universiti Kaherah, Salman Al-Farisi Selamat, 26, pula berkata, dia menghadapi saat getir apabila dalam tempoh rusuhan berlaku dikejutkan oleh ketukan pintu rumah pada pukul 4.30 pagi.

Dia kurang pasti siapa ‘tetamu’ yang tidak diundang itu kerana lebih memikirkan untuk melindungi isteri, Fatimah Zahrah Ramli dan anaknya, Ezzat Salman yang baru berusia sembilan bulan.
“Saya lebih risaukan keadaan isteri dan anak. Itu yang lebih penting bagi saya dan hanya mampu berdoa supaya tidak ada sesiapa yang memecah masuk rumah kami.
“Kami juga diminta untuk berdiam diri sebagai langkah keselamatan. Saya amat bersyukur kerana pintu yang diketuk kuat hanya berlaku beberapa minit,” katanya.

Bagi Nurul Aishikin Kamaruddin, 23, dia masih tidak dapat melupakan peristiwa dia diacukan pisau oleh penunjuk perasaan sewaktu keluar bersama rakan-rakan.
Namun dia yang menuntut dalam jurusan Pengajian Syariah Islam di Universiti Al-Azhar itu bernasib baik kerana tidak diapa-apakan memandangkan statusnya sebagai pelajar.
“Hanya Tuhan saja yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu lebih-lebih lagi apabila kami diminta untuk turut serta dalam perhimpunan itu.
“Saya tak pasti siapa mereka. Mungkin penunjuk perasaan yang anti kerajaan. Kami dibenarkan beredar kerana mengetahui keadaan kami yang ketakutan,” katanya.

0 comments:

 
Copyright © LITTLE ROCKSTAR