ADA KEMUNGKINAN RAKYAT MALAYSIA ENGGAN PULANG EKORAN SITUASI MAKIN PULIH DI MESIR

Kementerian Luar berkata kemungkinan ada pelajar Malaysia di Mesir tidak akan pulang ke tanah air memandangkan situasi semasa di negara yang bergolak itu bertambah baik.

Wisma Putra dalam satu kenyataan di sini berkata bagaimanapun, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah tetap bersedia memindahkan pelajar yang berhasrat untuk pulang.

Tunjuk perasaan di bandar-bandar utama di Mesir seperti Iskandariah dan Suez mula berkurangan, manakala situasi keselamatan dan ketegangan di Kaherah lebih bertumpu di Medan Tahrir yang melibatkan penyokong pro Presiden Hosni Mubarak dan pihak antikerajaan yang dilapor masih berterusan, kata kenyataan itu.

Wisma Putra juga berkata kebanyakan premis perniagaan seperti kedai makan dan minuman mula beroperasi seperti biasa termasuk perkhidmatan perbankan yang mula beroperasi pada waktu-waktu tertentu bermula Ahad.

Kenyataan tersebut juga berkata proses evakuasi rakyat dan pelajar Malaysia dari Mesir ke Jeddah di Arab Saudi berjalan dengan jaya hasil kerjasama di antara kementerian itu dengan Majlis Keselamatan Negara, Angkatan Tentera Malaysia, Tabung Haji dan agensi kerajaan yang lain serta Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia.

Sehingga pukul 7 malam, jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang dipindah keluar adalah seramai 5,799 orang. Mereka akan ditempatkan di Kompleks Tabung Haji, Jeddah, kata kenyataan itu.

"Kementerian menjangkakan jumlah yang akan dipindahkan dari Mesir menjelang esok adalah lebih kurang 7,000 orang," kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu juga berkata dua penerbangan pertama membawa pulang rakyat Malaysia dari Jeddah melalui pesawat MAS MH8029 dan AirAsia akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10 pagi Isnin.-BERNAMA

0 comments:

 
Copyright © LITTLE ROCKSTAR