TUDM, TLDM, MAS dan Air Asia berganding bahu pindahkan rakyat Malaysia di Mesir

Pesawat pengangkut C-130 TUDM sudah terbang ke Mesir...kapal TLDM di Teluk Eden juga dalam perjalanan ke sana. Di samping itu pesawat MAS dan Air Asia juga akan terlibat dalam misi pertama dalam sejarah negara untuk memindahkan begitu besar jumlah rakyat Malaysia yang terperangkap di sebuah negara asing yang sedang dilanda krisis.

Misi itu yang dijangka memakan masa lebih empat hari akan mengangkut 3,000 pelajar dan rakyat Malaysia sehari di Mesir untuk dipindahkan ke pusat transit yang dikendalikan oleh Tabung Haji Jeddah.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman memberitahu wartawan di Kota Kinabalu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah menghubungi Raja Arab Saudi bagi membolehkan rakyat Malaysia yang keluar dari Mesir ke Jeddah dikecualikan daripada visa.

Terdapat lebih 11,000 warga Malaysia di Mesir .Kebanyakan mereka adalah pelajar.

Tiga pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah pun berlepas ke Mesir Rabu manakala sebuah pesawat Malaysia Airlines, Boeing 747 yang boleh membawa 285 penumpang pula akan berlepas ke Kaherah pada 9 pagi Khamis.

Selain itu tiga pesawat Air Asia juga berlepas pagi Khamis.
AirAsia akan menyediakan pesawat jenis A340 dan A330 bagi membawa pulang warga Malaysia ke tanah air dari Jeddah, Arab Saudi.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Kamaruddin Meranun berkata syarikat penerbangan itu juga telah menyediakan pesawat A320 dengan kapasiti 180 penumpang sebagai "shuttle" dari Kaherah ke Jeddah.
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab yang berada di Kaherah berkata, pesawat TUDM yang terbang ke ibu negara Mesir itu akan turut membawa bekalan makanan bersama mereka.
Katanya, kerajaan juga berusaha mendapatkan visa sementara khas daripada kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan pelajar yang berada di Mesir dipindahkan ke Jeddah sebelum dibawa pulang.
"...sebab kita nak keluarkan pelajar kita ramai sangat. Jadi kita nak bawa mereka ini ke Jeddah dahulu," katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan memutuskan untuk membawa keluar pelajar-pelajar Malaysia dari Mesir menerusi jalan laut dan udara berikutan pergolakan di negara itu yang semakin meruncing.
Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat setelah mendapat laporan daripada delegasi Malaysia ke sana yang diketuai Timbalan Menteri Luar, A.Kohilan Pillay dan turut disertai Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Sahlan Ismail.
Dilaporkan terdapat lebih daripada 11,000 rakyat Malaysia di negara itu dan daripada jumlah tersebut 7,000 adalah pelajar.-agendaily

0 comments:

 
Copyright © LITTLE ROCKSTAR