Penerbangan Kaherah-KL ditukar ke Jeddah

Penerbangan membawa keluar pelajar dan rakyat Malaysia dari Kaherah terus ke Kuala Lumpur berikutan pergolakan di Mesir terpaksa dipinda kepada hanya penerbangan ke Jeddah, Arab Saudi, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Shahlan Ismail.

Beliau berkata pesawat pertama membawa rakyat Malaysia dari Kaherah yang pada mulanya dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5 pagi Jumaat itu, sebaliknya akan mendarat di Jeddah.

Shahlan memberitahu Bernama bahawa perubahan program pemindahan itu bertujuan membolehkan lebih ramai warga Malaysia dibawa keluar dalam tempoh lebih segera.

Pesawat-pesawat sedia ada perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya agar membuat lebih banyak penerbangan ulang-alik Kaherah-Jeddah.

"Semua pesawat yang ada daripada Penerbangan Malaysia (MAS), AirAsia dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) akan beroperasi tanpa henti berulang-alik antara Jeddah dan Kaherah.

"Kita mahu seramai mungkin rakyat kita berjaya dibawa keluar dari Mesir kerana keadaan semakin terdesak," katanya.

Shahlan sebelum ini dilaporkan berkata penerbangan pertama membawa 309 orang termasuk pelajar serta mereka yang uzur dan wanita mengandung akan berlepas dari Kaherah, pada 1 tengah hari ini waktu tempatan (7 malam waktu Malaysia pada Khamis) dan dijadualkan tiba di KLIA pada pukul 5 pagi Jumaat.

Shahlan juga memaklumkan terdapat dua penerbangan yang membawa rakyat Malaysia ke Jeddah hari ini dari Kaherah manakala esok 12 penerbangan melibatkan enam pesawat.

Menurut beliau, selain pesawat, kapal milik Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) KD Bunga Mas 5 juga akan menyertai operasi pada Sabtu membawa keluar baki warga Malaysia ke Jeddah.

Shahlan turut merayu kepada semua rakyat Malaysia dan pelajar yang berada di Mesir supaya sedar bawa mereka semuanya terperangkap dan hanya boleh keluar melalui langkah yang dirancang kerajaan.

"Jadi, tak perlu menimbulkan sebarang provokasi di waktu ini kerana ia hanya akan mengakibatkan kekecohan yang tidak diingini dalam kalangan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan.

"Kerajaan berjanji akan membawa semua pelajar dan rakyat keluar tidak kira dari negeri mana asalkan anda rakyat Malaysia, diharapkan semua bersabar," katanya.

Shahlan kini berada di Kaherah untuk memantau keadaan di negara yang bergolak itu atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang menyertai delegasi Malaysia diketuai Timbalan Menteri Luar Senator Kohilan Pillay itu sentiasa memantau keadaan.
Sementara itu, pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang kini berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi, masih
menunggu kelulusan daripada kerajaan Arab Saudi untuk masuk ke Jeddah, kata Timbalan Komander misi menyelamat Kolonel Dzulkarnain Ahmad.

Pasukan itu yang berlepas dengan tiga buah pesawat C130 Hercules dari Pangkalan TUDM Subang pada pukul 9.30 malam semalam, tiba di Abu Dhabi kira-kira pukul 12 tengah hari, waktu Malaysia.

Misi itu disertai 180 orang terdiri daripada 150 anggota tentera dan selebihnya ialah wakil dari Majlis Keselamatan Negara (MKN), pegawai Wisma Putra, media dan Lembaga Urusan Tabung Haji.

Misi berkenaan turut membawa bekalan makanan dan akan membawa keluar rakyat Malaysia dari Kaherah, Mesir untuk dibawa ke Jeddah.

Ia dilancarkan berikutan pergolakan politik di Mesir yang menimbulkan keadaan huru-hara kerana berlakunya demonstrasi jalanan selain rusuhan oleh rakyat negara itu.
Sementara itu, dua penerbangan pertama - Malaysia Airlines dan AirAsia - membawa kira-kira 600 pelajar Malaysia yang menunggu untuk dipindahkan dari Kaherah, Mesir, dijangka tiba di Jeddah, Arab Saudi menjelang tengah malam ini.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata pesawat Boeing 747 Malaysia Airlines dan A340 AirAsia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur awal hari ini menuju ke Kaherah.

"Sebaik sahaja kedua-dua pesawat ini tiba di sana, kami akan uruskan penerbangan membawa keluar kumpulan pertama pelajar Malaysia dan kami harap, jika semuanya berjalan lancar, mereka akan tiba di Jeddah menjelang tengah malam ini," katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu hari ini.

Anifah berkata tiga pesawat pengangkut C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang berlepas ke Jeddah semalam, akan memulakan penerbangan membawa keluar pelajar Malaysia dari Mesir pagi esok.

"Ketiga-tiga pesawat ini perlu rehat selama 24 jam sebelum meneruskan aktiviti penerbangan biasa.

"Itulah sebabnya pesawat ini hanya boleh memulakan perkhidmatan ulang-alik esok. Keseluruhannya, tiga pesawat TUDM itu boleh membawa sehingga 750 penumpang," katanya.

Anifah berkata Kedutaan Malaysia di Mesir bekerja sepanjang masa untuk memastikan misi membawa pulang pelajar Malaysia dari negara bergolak itu berjalan lancar.

Beliau berkata keadaan adalah terkawal, terutamanya di kawasan berhampiran pejabat Kedutaan Malaysia di Mesir, yang terletak jauh dari Tahrir Square, Kaherah, yang dilanda konflik itu.

Anifah berkata beliau akan memantau rapi keadaan semasa dan proses pemindahan rakyat Malaysia dari negara berkenaan.
- Bernama

0 comments:

 
Copyright © LITTLE ROCKSTAR