MENGINGATI MAMA

Kekadang saya bertanya pada diri sendiri, satu hari kelak, bila saya sudah tiada, bagaimanakah diri saya akan anak-anak ingati? Adakah mereka akan ingat saat-saat saya memarahi mereka waktu kecil? Atau mengingati saya melalui tempat-tempat yang kami pernah terokai bersama? Atau… ingatan itu datang dari melihat insan-insan lain?




Adakah kita hidup untuk diingati?



Ingatan awal saya terhadap ibu saya banyak berkisar kepada makanan-makanan yang dimasaknya. Dan bila makan disuap mama, tangannya ada macam ‘magic’, bertambah-tambah sedapnya. Kata orang, masakan ibu memang tiada tandingan. Ikan cencaru belah belakang, asam tumis, gulai lemak dan lain-lain resipi mama semua saya warisi tetapi keenakan menikmati juadah masakannya telah pergi bersamanya. Benar kata orang, masakan itu bukan sekadar pada ramuan resepi tetapi pada sucubit kasih sayang dan seulas keikhlasan yang digaul bersama yang membezakannya.



Selain alunan bacaan ayat-ayat suci Al Quran, zikir dan doanya, saya juga sering terkenang lagu-lagu yang mama nyanyikan. Kadang-kadang, di dalam diam, saya sendiri perlahan-lahan mengalunkan irama itu. Syukur kepada teknologi maklumat masa kini dan kehadiran media seperti youtube serta penyumbang-penyumbangnya, lagu-lagu tersebut satu demi satu dapat saya jejaki.



Kadang-kadang mama akan selitkan anekdot bagi lagu-lagu tersebut, ada yang sedih dan ada yang lucu. Contohnya lagu Joget Jauh Pandangan nyanyian Allahyarham Abdullah Chik. Saya sentiasa ingat mama menyanyi pada saya waktu kecil antara lain liriknya,



“Lamanya kita tidak berjumpa,



sedihnya rasa hatiku,



sambutlah salam dari adinda,



dengan selalu digoda rindu.



Walaupun jauh seberang lautan,



kanda tak lupa sehingga mati,



sungguh pun surat dinda kirimkan,



seperti badan datang sendiri.”



Yang lucunya mama selalu bercerita bagaimana lagu itu terlalu mengganggu emosi para isteri perajurit negara sewaktu anggota tentera kita dihantar bertugas untuk misi keamanan di Congo. Maklumlah misi ke Congo yang turut disertai oleh arwah ayah saya merupakan antara misi ketenteraan keluar negara yang terawal di dalam sejarah Angkatan Tentera Malaysia.



Katanya ada sekali, akibat mendengar lagu itu di Radio Malaysia, kuarters tentera tempat ibu dan keluarga turut menetap menjadi kecoh bila seorang isteri tentera telah menjadi tidak keruan dan tak tertanggung rindu hingga cuba untuk mengambil nyawanya sendiri.



Ini menyebabkan timbul permintaan agar lagu tersebut dihentikan dari disiar di radio sehingga anggota-anggota tentera kita di Congo pulang ke tanah air.



“Janganlah kanda berhati duka,



dinda tak mungkir segala janji,



bila ku dapat surat kekanda,



barulah senang rasa di hati.



Bagi generasi yang membesar di zaman dunia siber dengan teknologi email dan web cam, sudah tentu sukar untuk dibayangkan kerinduan yang diakibatkan oleh perpisahan pada zaman dahulu.



“Baik lah baik belayar rakit, janganlah sampai putus talinya. Kasih sayangku bukan sedikit, jikalau boleh mati bersama.”



Sewaktu saya sedang menghadiri Festival Filem Malaysia di Pulau Pinang pada 2007, saya menerima panggilan telefon memaklumkan bahawa mama di dalam keadaan tidak sedar akibat komplikasi sakit jantung dan diabetesnya. Saya terus meninggalkan festival itu dan pulang malam itu juga ke Kota Bharu, tidak pasti masih berkesempatan atau tidak untuk bertemu mama.



Sepanjang perjalanan saya teringat sebuah lagu yang mama sering nyanyikan sewaktu mendodoikan saya waktu kecil. Sehingga hari ini saya gagal mengesan lagu itu, antara lain, liriknya lebih kurang berbunyi sebegini,



“dulu… dibendung di pangku, dipimpin berjalan, di selimutinya. Nasi, dipipih di suapkan, di ajarnya berkata, kasih mesra ibu….”



“…tapi kini hanya, kulihat pusara mu, tempat baring si ibuku, yang sangat ku sayangi…. tapi kini hanya… ku lihat pusaramu, tempat baring si ibuku, yang sangat ku sayangi….”



Saya akan bertanya mama, “mana mama dia pergi?’. “Mama dia dah mati…” jawab mama. “Kenapa mama dia mati….?”, dan saya akan menangis.



“Mama jangan mati okay…. mama janji ya…” desak saya waktu itu.



Banyak yang mama dan saya lalui bersama semasa saya kecil. Mama ada pilihan selepas berpisah dengan arwah ayah untuk memulakan hidup baru. Tetapi pilihannya ialah untuk meneruskan hidup lama bersama kami sehinggalah kami seorang demi seorang meninggalkannya. Dengan mama, benarlah kata orang, kasih saudara waktu berada, kasih ibu hingga ke syurga.



Mama tidak pernah tinggalkan kami walau susah walau senang. Tetapi setiap tahun demi tahun, dia menangisi ditinggalkan seorang demi seorang kami sehinggalah dia tinggal bersendirian.



Mama ke Mekah sendirian, pindah rumah sendirian dan banyak lagi yang dilakukannya sendirian. Sehingga akhirnya, bila dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia juga bersendirian.



Sewaktu mama berpisah dengan arwah ayah, pada perkiraan saya, mama belum mencecah empat puluh tahun. Dunianya masih luas tetapi pilhannya untuk terus di dunia lama. Saya ingat, saya sering mengugut untuk membaling batu kepada nenek saudara saya yang sering datang memujuk mama untuk berkahwin lain. Tidak dapat dibayangkan betapa idea bahawa kami akan terpaksa berkongsi mama dengan orang asing lain sungguh menggerunkan. Tetapi tidak pernah kami terfikir satu hari nanti, mama akan terpaksa berkongsi kami dengan ‘total stranger’.



Itulah pengorbanan seorang ibu.



Hidup tanpa suami dan tanpa pekerjaan, mama memang seorang ahli ekonomi yang hebat. Sepanjang hidupnya dia bergantung kepada pemberian arwah ayah yang kadang-kadang ada dan kadang-kadang tidak dan kemudiannya sumbangan daripada kami adik beradik. Namun sewaktu dia meninggal dunia, segala urusan jenazahnya sehinggalah ke urusan batu nesan dan hiasan pusaranya semua adalah dari sumbernya sendiri. Mama tidak mahu kami keluarkan wang untuk urusan jenazahnya, semuanya dia mahu tanggung sendiri.



Lebih dari itu, mama meninggal dunia dengan meninggalkan barang emas untuk setiap anak, menantu dan cucu perempuannya dan wang ringgit lebih dari yang kami miliki di dalam simpanan kami termasuklah peralatan rumahnya yang serba lengkap.



Saya masih ingat sewaktu kecil, tiap kali arwah ayah gagal menyumbangkan wang untuk menyara hidup kami, mama akan ke pajak gadai untuk menggadaikan barang emasnya. Apabila dia ada wang sedikit, dia akan menebusnya semula. Bila arwah ayah kembali mampu untuk memberi sumbangan, mama akan simpan sedikit demi sedikit untuk membeli lebih lagi barang emas.



Seingat saya, keluar masuk pajak gadai adalah aktiviti hampir empat lima kali setahun bagi mama. Dan menerusi aktiviti itu kami enam beradik dibesarkan sehingga ke maktab dan universiti. Disebalik keperitan yang ditanggung mama, walau kami tahu kami tidak kaya tetapi kami tidak pernah merasa diri kami miskin. Kami miliki apa yang seorang anak pada usia kami harus miliki.



Mama adalah pakar di dalam ekonomi emas, itulah yang sering saya katakan kepada banyak pihak.



Serasi dengan kehidupan di zaman 70an, Mama juga minat menonton wayang. Sewaktu kecil, mama dan saya sering menaiki beca untuk menonton wayang di panggung Odeon Kota Bharu, kini Bangunan UMNO Kelantan. Filem seperti Bukit Kepong, Menanti Hari Esok, Tiada Esok Bagimu dan Esok Masih Ada semuanya kami menonton berdua.



Memandangkan mama seorang perempuan dan saya masih kecil, kami sering terpaksa membeli tiket ‘black market’ kerana waktu dulu, filem Melayu mendapat sambutan hangat di pawagam.



Terpaksa di akui, kami adik beradik sering risau kerana merasakan mama lemah dari segi fizikal dan kesihatannya sering terganggu tetapi mengenangkan kembali apa yang dilaluinya, rasanya ia adalah satu cabaran besar untuk jadi segagahnya.



Untuk dikenang sebagai seorang yang tabah dan gagah bukanlah sesuatu yang senang. Kerapkali kita terpaksa melakukan apa yang kita telah dipertangungjawabkan dan itu tidak membuat kita seorang yang gagah. Namun kami adik beradik kini menyedari mama ada pilihan. Tetapi mama telah memilih pilihan yang membawanya melalui segala liku-liku kehidupan supaya jalan yang akan kami tempuhi terjamin lurus dan mudah.



Hebatnya pengorbanan seorang ibu dan amat bertuahlah sesiapa yang masih memilikinya.



Kadang-kadang mengapa begitu sukar untuk kita mengingatinya sewaktu dia masih boleh menerima secubit kasih sayang dan seulas kemesraan dari kita.

P/S;semasa usha blog trjumpa satu artikel agak menarik untuk dikongsi..kredit to kickdefella

0 comments:

 
Copyright © LITTLE ROCKSTAR